Monday 24 December 2012

teknologi abad ke 21


ABAD KE-21

Abad ke-21 ialah abad kini dalam kalendar-kalendar yang berdasarkan Kalendar Gregory, Tempohnya adalah dari 2001 hingga 2100 dan tempoh milenium ketiga adalah dari 2001 sehingga 3000. Ini disebabkan pengiraan abad pertama bermula dengan tahun 1. Biasanya, penggunaan umum menganggap bahawa abad ke-21 berlangsung dari 2000 hingga 2099 dan milenium ketiga dari 2000 sehingga 2999. Pada 2000, ISO menyokong kegunaan umum dengan mentakrifkan kalendar yang memulakan perhitungannya dari tahun sifar. Dari segi amalan, masalah ini telah pun diselesaikan dengan penggunaan 1 Januari, 2000 yang meluas untuk menandakan permulaan abad ke-21. Dekad-dekad sering dianggap sebagai bermula dengan tahun sifar dan diberikan nama yang sewajar, umpamanya "2010-an" dan sebagainya. Serupa dengan tempatnya abad ke-20 dalam penamaan "20th century Fox", abad ke-21 telah dipergunakan dalam nama pelbagai syarikat dan organisasi. (Sumber : Wikipedia bebas dalam Versi Bahasa Melayu; Tarikh akses : 24 September 2010).

PENDIDIKAN ABAD KE-21

Aristotle pernah menyatakan bahawa nasib sebuah empayar bergantung kepada pendidikan belia. Segala kekuatan atau kelemahan yang diperhatikan dalam masyarakat berkait rapat dengan jenis pendidikan yang kita beri kepada pemuda-pemudi kita.

Pendidikan adalah kepentingan awam. Peranan sistem pendidikan sangat penting dalam pembangunan negara. Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana usaha membangunkan generasi alaf baru, yang akan menjelang dua tahun akan datang. Sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha yang strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kualiti yang tinggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21.

Sektor industri pendidikan di negara sedang berubah secara dinamis dan dikira akan mengalami banyak perubahan dan pembaharuan menjelang abad ke-21. Matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan pendidikan (centre for academic excellence) di rantau Asia dan juga di peringkat antarabangsa pada abad ke 21 ini nanti memerlukan negara ini meningkatkan kecemerlangan imej dan kualiti pendidikannya ke taraf dunia atau memperoleh status "World Class Education".

 ‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ bermaksud kemampuan dan pencapaian cemerlang Malaysia dalam membangunkan sektor pendidikan untuk mempelopori perubahan dan kemajuan dinamis, iaitu :
  • Pembangunan tenaga manusia
  • Kepesatan pertumbuhan ekonomi
  • Pembaikan taraf dan kualiti kebajikan sosial
  • Pemodenan dan reformasi sosial masyarakat
  • Kecemerlangan budaya fikir dan intelektual
  • Pembangunan teknologi dan sains
  • Kejayaan meningkatkan kadar celik huruf yang tinggi di kalangan masyarakat.
‘Pendidikan Bertaraf Dunia’ merupakan satu komitmen dan usaha Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki kualiti pendidikan negara supaya ia dapat ditingkatkan kepada satu standard yang tinggi dan mampu menyaingi negara maju yang lain. Sebagai sebuah negara yang berkembang pesat dalam berbagai aspek pembangunan, sektor pendidikan perlu berkembang dan mengalami perubahan anjakan paradigma yang dapat merintis kan alaf baru dalam segala aspek. Ianya juga merupakan satu langkah penting bagi mengangkat martabat dan status Malaysia dalam dunia pendidikan di peringkat antarabangsa.

Kesimpulan

Dalam menuju ke arah pendidik dan pendidikan bertaraf dunia setiap lapisan masyarakat mahupun individu haruslah memainkan peranan masing-masing. Kita perlu bekerjasama dan berganding bahu dalam melaksanakan dan merealisasikan wawasan negara demi untuk melahirkan insan yang berilmu pengetahuan, bertanggungjawab, inovatif, kreatif, progresif dan berakhlak mulia selaras dengan falsafah pendidikan negara. Sebagai golongan bukan pendidik, kita janganlah meletakkan seluruh tanggungjawab ini hanya kepada golongan pendidik sahaja, tetapi haruslah memberikan komitmen yang menyeluruh dan bersepadu.

GURU ABAD KE-21

Menurut Kamus Dewan, guru bermaksud pengajar, pendidik atau pengasuh .( Syed Ismail Bin syed Mustapa. Ahmad Subki Bim Miskon: Julai 2010: m.s; 5 ). Guru adalah merupakan sumber kepada keberkesanan pendidikan. Walaupun sesuatu sistem pendidikan itu baik, sekiranya agen yang menyampaikan itu tidak efektif maka maksud yang ingin disampaikan tidak akan tercapai matlamatnya.

Bagi mencapai hasrat negara untuk membangunkan generasi yang mempunyai kemahiran abad-21, seseorang guru atau pendidik itu perlu komited dalam :

1.      Menguasai Pelbagai Bidang.

Penting bagi seseorang pendidik untuk sentiasa bersedia menguasai ilmu bagi menjadikan diri mereka relevan dan sesuai dengan perubahan yang berlaku. Ini kerana guru yang mempunyai kombinasi beberapa ilmu pelajaran lebih baik berbanding dengan guru yang cuma menjurus kepada satu bidang sahaja. Dalam konteks pengajaran Pendidikan Islam, seseorang guru itu perlu ‘berani’ mencuba sesuatu yang baru seperti menggabungkan pengetahuan Sains (Komputer) dengan Pendidikan Islam (Pendekatan Bersepadu). Bagi memastikan seseorang pendidik (guru) itu mampu menguasai pelbagai bidang, mereka (guru) hendaklah mengamalkan pembelajaran berterusan supaya guru sentiasa mengikuti perubahan yang berlaku dan menjadikan diri sentiasa bersedia menghadapi pelbagai cabaran.

2.      Mengikuti Perkembangan tentang Dasar dan Isu Pendidikan.

Seseorang guru yang berpengetahuan akan sentiasa mengikuti perkembangan yang berlaku khususnya perkembangan tentang dasar serta isu-isu berkaitan dengan pendidikan yang akan memberi impak kepada profesion perguruan serta perjalanan proses pengajaran dan pembelajaran. Dasar-dasar seperti dasar sains dan teknologi (sekolah berasaskan ICT) perlu diteliti dan difahami bagi membentuk guru yang berwibawa sekali gus membantu kepada melahirkan generasi yang berkualiti dan berkemahiran.

3.      Mahir Dalam Pedagogi (Pengajaran & Pembelajaran).

Kekuatan profesion perguruan dalam memastikan hasrat melahirkan generasi berkemahiran abad-21 juga bergantung kepada kecekapan seseorang guru itu menguasai pengetahuan pedagogi. Pengetahuan pedagogi ini bukanlah berdasarkan kepada pengalaman atau pengetahuan ‘lapuk’ tradisional yang mana sistem P&P diamalkan terlalu bergantung kepada guru (teachers-centred).

Bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kemahiran abad-21 ini, seseorang guru itu ‘wajib’ mencuba untuk mengadaptasikan pedagogi inovasi teknologi di dalam P&P contohnya pembelajaran berbantukan komputer. Ini kerana pengetahuan dan kebolehan guru mengadaptasikan kaedah P&P yang inovatif akan memberikan kesan positif kepada perkembangan dan pencapaian pelajar.

4.      Menggunakan Teknologi Terkini.

Seseorang guru itu seharusnya mengorak langkah dan mengambil peluang untuk melengkapkan diri dengan ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat dalam pelbagai bidang. Penggunaan teknologi itu bukan sahaja dijadikan sebagai satu mekanisme di dalam pengajaran dan pembelajaran tetapi juga bagi menyelesaikan urusan harian.

5.       Menerapkan Nilai-nilai Murni (Akhlak).

Beretika merupakan satu elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara. Di samping pendedahan kepada teknologi, seseorang guru itu juga harus menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila di dalam hubungannya sesama manusia.

Ciri-ciri yang hendak dilahirkan  untuk mewarisi alaf baru akan datang iaitu:
  • ·         Kaya maklumat (termasuk sains dan teknologi)
  • ·         Kekuatan minda (kreatif dan proaktif)
  • ·         Nilai-nilai luhur dan harmoni
  • ·         Semangat jati diri, jaya diri, keusahawanan, dan
  • ·         Keterampilan
Untuk menentukan kehendak ciri-ciri manusia berkualiti tersebut dapat dihasilkan, maka para pendidik dan guru-guru pelatih perlulah dilengkapkan dengan ciri-ciri berikut pula:

  • ·         Menguasai subjek (kandungan kurikulum)
  • ·         Mahir dan berketerampilan dalam pedagogi (pengajaran dan pembelajaran)
  • ·         Memahami perkembangan murid-murid dan menyayangi mereka.
  • ·         Memahami psikologi pembelajaran (cognitive psychology)
  • ·         Memiliki kemahiran kaunseling
  • ·         Menggunakan teknologi terkini
  • ·         Dapat menyaring dapatan-dapatan kajian dan penyelidikan mutakhir
  • ·         Boleh bekerjasama dengan rakan sejawat dan orang lain
  • ·         Memiliki keyakinan terhadap peranan dan sumbangan sebagai pendidik

Tanggungjawab pendidik

1.      Membina budaya ilmu

a.      Teknologi dan perkomputeran

Para pendidik seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketerampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian.

b.       Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif

Pelajar-pelajar mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.

c.       Kebolehan menterjemah dan mengawal kurikulum yang luas

Para pendidik seharusnya mempunyai kemahiran dan berketerampilan mengaitkan domain teori dan praktis dan mesti bijak membina pengetahuan dan kemahiran secara developmental mengikut kadar pembelajaran (pace of learning) untuk mencapai kemahiran thoughtful learning. Kurikulum sepatutnya memberi ruang untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa berdasarkan keperluan negara, perkembangan semasa, dan kemajuan sejagat. Kurikulum yang hendak digubal melalui 4 Pillars of Learning iaitu:

Ø  Belajar untuk menguasai ilmu
Ø  Belajar untuk menguasai kemahiran
Ø  Belajar untuk menjadi insan berguna
Ø  Belajar untuk harmoni dan bekerjasama

d.      Menerapkan nilai-nilai murni/ akhlak/ moral

Nilai-nilai murni menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila insan dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara.

e.      Menguasai pengetahuan dan kemahiran industri
Melahirkan generasi untuk pasaran tenaga kerja industri merupakan dasar pembangunan negara. Usaha ini ialah sebagai sumbangan kepada melahirkan sumber manusia yang menyumbang kepada tenaga buruh yang berkualiti, serba boleh, dan responsif kepada perubahan keadaan perindustrian. Kurikulum dan daya didik di dalam sistem pendidikan hendaklah berupaya merealisasikan masyarakat saintifik, teknologi dan progresif yang inovatif dan berpandangan jauh ke hadapan.

2.      Membentuk Masyarakat Madani

Pendidik yang professional dapat menangani pengajaran dan pembelajaran yang dapat membudayakan masyarakat dengan amalan akhlak dan nilai-nilai murni. Perkembangan dan kemajuan dunia boleh mempengaruhi gaya hidup dan akhlak masyarakat kita. Usaha mengimbangkan perkembangan dan kemajuan dunia aspek teknologi maklumat dan industri "hi-tech", dengan pembentukan rohaniah dan ketahanan diri diberikan perhatian serius. Maka konsep masyarakat madani merupakan wadah untuk membudayakan masyarakat Malaysia. Kurikulum dalam sistem pendidikan kita sama ada secara formal mampu menyusun dan membentuk masyarakat madani. Usaha mewujudkan masyarakat madani diharap dapat melahirkan warga negara yang berpegang kepada teras keimanan dan ketuhanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti bangsa Malaysia, tahap kepimpinan yang dinamik, berpandangan jauh, kreatif dan inovatif, citra diri yang tinggi, berdisiplin dan amalan hidup yang cemerlang.

Kesimpulan
Perkembangan dunia aspek ekonomi, sosial, politik dan teknologi seharusnya menjadi indikator asas kepada sistem pendidikan dan persekolahan untuk memenuhi keperluan tenaga manusia yang berteraskan keilmuan yang berkualiti, asas nilai dan moral yang berdasarkan kepercayaan kepada Tuhan, semangat patriotik dan memelihara perpaduan rakyat sebagai bangsa Malaysia, dan manusia yang bertaraf dunia. Para pendidik adalah wahana yang boleh menentukan corak manusia yang mampu menghadapi alaf baru, abad ke-21.

MURID ABAD KE-21

Menurut  Bernie Trilling dan Charles Fidel (2009) berkaitan kemahiran abad ke 21, murid pada abad 21 perlu menguasai kemahiran-kemahiran berikut:

·         Pemikiran kritikal dan penyelesaian masalah

·         Kreativiti dan inovasi

·         Kolaborasi, kerja berpasukan dan kepemimpinan

·         Pemahaman antara budaya

·          Literasi komunikasi, maklumat dan media

·         Literasi pengkomputeran  dan TMK

·         Kerjaya dan belajar tanpa pergantungan (Career and learning self-reliance)

Untuk memenuhi matlamat mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersikap terbuka dan kreatif, kurikulum yang direncanakan mestilah mampu membekalkan pelajar dengan kesediaan diri yang kukuh dari segi intelek, rohani, jasmani dan emosi. Fokus pengisian kurikulum semestinya lebih daripada penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas tetapi kepada penguasaan berbagai-bagai kemahiran iaitu :-

·         kemahiran berfikir secara kritikal dan kreatif
·         kemahiran berkomunikasi secara berkesan
·         kemahiran menikmati keindahan ciptaan dan seni
·         kemahiran membuat pilihan dan membuat keputusan
·         kemahiran mencari, menginterpretasikan dan mengaplikasikan maklumat
·         kemahiran bergaul dan bekerjasama dengan orang lain
·         kemahiran kepimpinan dan pengurusan

Di dalam usaha ini, kurikulum perlu memberi penekanan kepada perkara-perkara berikut :

(a) Pembelajaran Koperatif

Kurikulum berkisar dalam bentuk tugasan, permasalahan dan projek yang dijalankan oleh pelajar dalam kumpulan yang mengandungi berbagai tahap kebolehan. Penglibatan diri dalam kemahiran ‘interpersonal’ merangkumi kemahiran membuat keputusan, mengendalikan konflik dan mengekalkan hubungan baik antara ahli kumpulan.

(b) Berfikir Secara Kritis dan Reflektif

Fokus aktiviti kurikulum kepada kebolehan membuat pilihan dan keputusan berlandaskan sebab-sebab yang rasional serta justifikasi. Minda yang kritis berupaya mengenal pasti andaian-andaian, idea, pandangan membawa kepada perubahan tingkah laku peribadi yang lebih baik atau penghasilan produk baru.

(c) Pengembangan Kreativiti

Kurikulum perlu banyak menonjolkan aktiviti-aktiviti yang kreatif termasuklah berfikir secara logik, membina daya imaginasi dan boleh memberi pandangan. Kreativiti-kreativiti dapat dipupuk apabila individu tersebut diberi galakan.

(d) Kemahiran Generik

Kemahiran-kemahiran generik boleh guna dapat menyediakan tenaga pekerja yang mahir, cekap dan berketerampilan di tempat kerja dan alam pekerjaan. Pekerja yang berketerampilan menjadi aset kepada majikan, dapat memajukan diri dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara. Pekerja yang mempunyai kepakaran akan begitu mobile dan kerap bertukar kerja. Penguasaan kemahiran generik memberi peluang kepelbagaian jenis pekerjaan dalam bidang yang berlainan.

(e) ‘Multilingualism’

Arus globalisasi dan ledakan maklumat memerlukan kebolehan pelbagai bahasa untuk Rakyat Malaysia perlu menguasai dua bahasa atau lebih (selain daripada Bahasa Melayu) supaya boleh berkomunikasi dengan berkesan, dan berupaya menggunakan segala maklumat dalam pelbagai bahasa.

(f) Patriotisme dan Ketatanegaraan

Kesinambungan pembinaan semangat patriotisme dan identiti kebangsaan dilanjutkan. Kebudayaan nasional, ideologi dan aspirasi nasional akan dapat mengukuhkan lagi identiti kebangsaan dan membentuk bangsa Malaysia yang berwibawa dan bermoral tinggi.

(g) Penghayatan Nilai-Nilai Murni

Pemupukan dan penghayatan nilai murni masyarakat Malaysia dilanjutkan di samping nilai-nilai baru masyarakat moden. Hanya insan baik, beradab dan bermoral tinggi mampu menguasai ilmu-ilmu baru tanpa mengorbankan agama, akhlak dan kebudayaan bangsa. Insan baik, sedar insaf bahawa ia perlu menguasai ilmu bagi melaksanakan tugas terhadap dirinya, Tuhan, keluarga dan masyarakat manusia serta alam sekelilingnya.

(h) Pelbagai Kecerdasan

Setiap individu mempunyai kecerdasan dan kebolehan yang berbagai. Kesemua potensi seperti yang disarankan dalam teori Pelbagai Kecerdasan (Multiple Intelligences) iaitu verbal-linguistik, logik-matematik, muzik, spatial, bodily-kinaesthetik, inter-personal, dan intrapersonal diberi tumpuan. Ini dapat melahirkan individu yang holistik dan seimbang.

(i) Kemahiran Belajar Untuk Belajar

Kemahiran belajar diajar seiringan dan disepadukan dengan pembelajaran sesuatu mata pelajaran. Kemahiran membaca pantas, mencari dan memilih maklumat, merujuk, membuat nota, menulis ringkasan, bercakap di khalayak ramai dan sebagainya diberi penekanan dan disepadukan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

KEMAHIRAN ABAD KE-21

Sebagai seorang penjaga, pendidik atau pekerja pada era ini, kebanyakan dari kita memang tidak dapat lari daripada ungkapan-ungkapan berhubung kepentingan kemahiran abad ke -21. Secara ringkasnya, pendidikan atau pembelajaran abad ke-21 berkitar pada pendapat bahawa persekolahan selama 150 lalu ialah ciptaan abad ke-19.

Persekolahan kita harus diubah seiring dengan permintaan ekonomi terkini. Sekolah kemahiran dan pembelajaran yang direka untuk menyediakan pelajar untuk bekerja dan hidup dalam ekonomi perindustrian perlu pemikiran baharu.

Perubahan diperlukan untuk memenuhi keperluan masyarakat sekarang yang banyak dipengaruhi oleh dunia yang dicorakkan oleh pembangunan teknologi. Pemikiran ini merujuk pada pandangan bahawa pembelajaran patut memanfaatkan teknologi untuk pedagogi terkini yang lebih prihatin kepada ciri-ciri pelajar sekarang. Penekanan perubahan pendidikan yang dimaksudkan mengaitkan kemahiran abad ke-21 dengan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Kebanyakan kemahiran abad ke-21 adalah berdasarkan kepada pendedahan terhadap ICT. Jika dahulu, literasi cuma merangkumi membaca, menulis, dan mengira, literasi abad ke-21 melibatkan literasi digital. Guru memainkan peranan utama dalam membimbing pelajar untuk melayari internet, mencari laman sesawang, memilih perisian yang sesuai dan mengumpul serta mengulas maklumat. Dengan bimbingan guru juga kesedaran global pada era digital sepatutnya mudah dicapai dan seharusnya meningkat.

Pembelajaran berasaskan projek (project-based learning) adalah satu pendekatan P&P yang boleh memupuk kemahiran tersebut. Topik-topik tertentu dalam mata pelajaran Sejarah dan Sains contohnya boleh diberi sebagai tugasan projek di mana pelajar perlu mendapatkan maklumat daripada pelbagai sumber.
Tugasan menerusi pembelajaran berasaskan projek juga menggalakkan komunikasi interaktif. Pelajar berbincang dan berkongsi maklumat mengenai projek bersama rakan dan guru secara bersemuka atau atas talian menerusi pelbagai alat media sosial seperti e-mel, Facebook atau blog.

Sumber terbaik bagi membina kemahiran komunikasi interaktif seperti kemahiran sosial dan peribadi, semangat berpasukan dan kolaborasi adalah menerusi lima bentuk teknologi era digital iaitu mobility (bergerak) seperti telefon pintar, connectivity (penyambungan) seperti WiFi, rangkaian sosial seperti Facebook dan Twitter, enjin carian seperti Google dan Yahoo, dan portal perkongsian maklumat seperti Wikipedia dan YouTube.

Jelas sekali bahawa pembangunan abad ke-21 dalam kalangan pelajar memerlukan perubahan pada pendekatan pendidikan. Perubahan ini boleh berlaku di peringkat sekolah atau bilik darjah.  Walau bagaimanapun, perubahan di peringkat sekolah atau bilik darjah memerlukan kesedaran dan kemahiran di kalangan guru dan pentadbir. Program pengurusan perubahan dan kajian semula program latihan guru adalah perkara-perkara asas yang perlu disediakan ke arah pendidikan, persekolahan dan kemahiran abad ke-21.
Seiring dengan perkembangan yang berlaku dalam dunia global, bidang pendidikan turut tidak terkecuali. Beberapa kajian tentang kemahiran dan tahap kompetensi yang diperlukan oleh seorang mahasiswa dalam abad ke-21 ini telah dilakukan di serata dunia. Kajian yang dijalankan oleh D'Andrea dan Daniels (2002) misalnya, mendapati bahawa mahasiswa memerlukan kemahiran baru untuk lebih berjaya dalam dunia pendidikan dan juga kehidupan seharian. Contohnya:

·         Komunikasi
-Pertukaran pemikiran dan idea menerusi lisan dan tulisan.

·         Kepekaan Silang Budaya
-Dapat memahami dan bekerjasama dalam pelbagai budaya.

·         Pelbagai Bahasa
-Keupayaan untuk berkomunikasi menggunakan lebih dari satu bahasa.

·         Kemahiran Mengurus
-Keupayaan untuk mengurus dan membantu orang lain melaksanakan, menyelesaikan masalah dan konflik.

·         Kerja Berpasukan
-Dapat bekerjasama dalam satu pasukan untuk mencapai sesuatu matlamat.

·         Kreativiti
-Dapat menyumbangkan pemikiran yang berbentuk kreatif dan artistik dalam menyelesaikan sesuatu masalah.

·         Keupayaan Untuk Menyesuaikan Diri
-Mempunyai kemampuan untuk menghadapi dan menyesuaikan diri dengan perubahan.

·         Empati
-Kemampuan untuk memahami perasaan dan idea orang lain dari sudut pandangan mereka.

·         Pengurusan Stress (Relaxation)
-Berkemampuan untuk mengawal situasi stress dan mengenal pasti punca stress.

·         Etika Kerja
-Dapat mempamerkan etika dan disiplin kerja yang baik dan tinggi.

·         Disiplin Diri
-Dapat mengawal diri dan tingkah laku dalam kaunseling dan hal peribadi.

·         Tanggungjawab
-Mempunyai aspirasi untuk mencapai tahap akauntabiliti yang tinggi.

·         Pemikiran Diskriminatif
-Keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan pemikiran yang berbeza.

·         Kemahiran Tatabahasa
-Mempunyai keupayaan untuk mengeluarkan pandangan dan idea yang lebih baik.